Panasonic catat jualan positif

Panasonic catat jualan positif  
Mizobata (kanan) dan Jurutera Perunding kanan (APAC Region) i2O Water Malaysia, Sufian Sidek menunjukkan model komputer riba baru, Toughbook CF-C2 di Kuala Lumpur, semalam.
Panasonic Systems Asia Pasific (Panasonic) menjangkakan pertumbuhan jualan komputer riba dan tablet lasaknya bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac ini meningkat melebihi 30 peratus.

Pengarah Toughbook bagi Asia Pasifiknya, Satoshi Mizobata, berkata jangkaan itu bersandarkan kepada jualan positif syarikat kepada sektor kerajaan dan swasta.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012, jualan komputer riba dan tablet meningkat 30 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


“Ia jelas menunjukkan barisan model komputer riba dan tablet lasak Panasonic semakin mendapat permintaan di Malaysia,” katanya selepas taklimat media dan pengenalan model komputer riba baru, Toughbook CF-C2 di Kuala Lumpur, semalam.

Mizobata berkata, walaupun pasaran Malaysia kecil berbanding Indonesia dan Thailand, namun ia berpotensi untuk berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai industri yang menjurus kepada peningkatan permintaan produknya.

Katanya, syarikat akan memberi tumpuan kepada beberapa industri untuk pasaran negara ini termasuk penjagaan kesihatan, penerbangan dan automotif yang memiliki potensi besar untuk diterokai.

“Bagi pasaran Malaysia, bermula tahun ini, kami akan memberi tumpuan kepada sektor swasta memandangkan ia belum diterokai sepenuhnya berbanding sektor kerajaan yang menjadi segmen penyumbang terbesar jualan syarikat,” katanya.
Ketika ini, Panasonic mempertaruhkan enam model komputer riba lasak yang dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Fully-Rugged, Semi-Rugged dan Business-Rugged selain dua model tablet (Toughpad).

Sementara itu, Toughbook CF-C2 di bawah jenis Semi-Rugged yang diperkenalkan semalam, menjadi salah satu model paling fleksibel dan tahan lama yang direka untuk sektor penjagaan kesihatan, penerbangan dan automotif.

Menggunakan sistem operasi Windows 8 Pro, model pelbagai guna ini masih mengekalkan daya tahan seperti kalis air dan sinaran matahari, bateri tahan lama selain lasak.

Didatangkan dengan skrin definisi tinggi (HD) bersaiz 12.5 inci, ia menggunakan prosesor Intel Core i5-3427U vPro dan saiz memori utama lapan gigabait (GB) manakala cakera keras bersaiz 320GB.

Dengan sambungan internet tanpa wayar, CF-C2 seberat kira-kira 1.78 kilogram itu menjadi satu penyelesaian kepada jurutera automotif, juruteknik penerbangan dan pakar penjagaan kesihatan dalam melaksanakan tugasan harian.

Selain itu, ketahanan bateri sehingga 11 jam (bateri enam sel) dan 15 jam (sembilan sel) dapat memenuhi keperluan tugasan dalam jangka masa lama berbanding komputer riba biasa.

Toughbook CF-C2 ditawarkan pada harga mulai RM7,000 hingga RM8,000 bergantung kepada jenis aplikasi industri yang berlainan.

Popular posts from this blog

Kode Singkatan Komponen Listrik Dan Elektronik

Cara Mengatasi E31 Canon MP258

Cara Mengukur Trimpot